Pernah satu ketika saya diminta untuk menjadi Program Manager untuk satu program besar di UIAM.
Saya yang kebiasaannya hanya menjadi Ketua Biro sahaja berfikir banyak kali sebelum menerima jawatan tersebut.
Bukan apa, satu lagi yang saya boleh buat adalah saya boleh memilih sesiapa sahaja untuk menjadi Ketua Biro dan untuk menjadi ahli jawatankuasa.
Memang saya rasa betul-betul berkuasa masa itu. Huhu.
"Macam belum layak je aku jadi Program Manager." Kata saya cuba menduga sama ada dia memang betul-betul ingin memilih saya atau masih ada calon yang lain.
"Kalau kau tak jadi hari ini, nanti akan datang kalau ada orang minta kau jadi Program Manager alasan ini juga kau akan bagi."
Nampaknya mahu tak mahu memang saya kena pikul tanggungjawab itu.
Saya perlu memilih cepat-cepat angkatan perang saya sebagai Setiausaha, Bendahari dan Ketua Biro.
Penolong saya yang lain sudah disediakan oleh pihak atasan.
Dan proses memilih inilah yang saya rasakan sedikit berat.
Ini adalah proses yang paling penting yang pertama untuk memastikan semua orang boleh bekerja.
Saya memilih dari segi kepakaran atau dari pandangan saya sendiri sama ada dia betul-betul melakukan kerja tersebut atau tidak.
Sama fikrah Vs kepakarannya
Ada juga rakan saya yang memilih berdasarkan si dia itu sama fikrah(selari atau sekonco) dengannya.
Jadi, orang luar yang ada kepakaran tetapi tidak sama fikrah dengannya ditolak jauh-jauh.
Islam adalah agama yang memanfaatkan kepakaran dan kebolehan seseorang manusia itu.
Ini ditunjukkan sendiri oleh Nabi Muhammad dalam membentuk pasukan beliau.
Kepakaran daripada orang yang tidak sama fikrah(selari) dengan kita, janganlah ditolak tepi begitu sahaja.
Kalau boleh, ajak mereka bersama kita dan gunakan kepakarannya sebaik mungkin.
Kita lihat bagaimana Umar bin al-Khattab yang begitu memusuhi Islam semasa jahiliahnya, tidak ditolak tepi oleh Nabi Muhammad.
Malah Nabi Muhammad mendoakan agar dia memeluk Islam dan seterusnya kepakarannya dapat digunakan apabila beliau menganut Islam.
Keberanian dan ketangkasan Umar itu disusun dan diatur agar bersesuaian dengan prinsip-prinsip Islam yang menguntungkan umat Islam.
Saya pernah bertemu beberapa orang professional bukan dalam bidang pengajian Islam, apabila timbul kesedaran Islam dalam diri mereka, merekalah yang menjadi penggerak kepada program-program untuk menaikkan nama Islam.
Malah merekalah yang paling bersemangat bila buat satu-satu kerja yang diberikan.
"Bolehkah mereka terima cara bekerja kita? Nanti takut-takut mereka jadi pemberontak dan mengatakan idea kita untuk program itu jumud." Soal rakan saya yang pilih berdasarkan sama fikrah.
Sudah cuba atau belum? Kalau kita menyempitkan akal dengan menerima pendapat orang yang dekat-dekat dengan kita sahaja, bukankah itu lebih jumud?
Lebih baik menerima pendapat orang luar, mana tahu pendapatnya itu dapat menarik orang dari golongannya juga turut serta dalam program tersebut.
Banyak juga program yang yang dianjurkan oleh rakan-rakan atas nama dakwah.
Malah ada juga yang sambutannya menggalakkan tetapi yang saya lihat muka yang sama juga pergi program tersebut.
Bertudung labuh dan berkopiah dan paling tidak pun berbaju Melayu.
Tetapi dalam memilih pendapat orang luar juga perlu diambil kira beberapa perkara.
Selagi ia tidak bertentangan dengan syariat Islam, selagi pendapatnya tidak melanggar mana-mana batas, selagi itulah kita perlu cuba untuk menerimanya walau kita rasakan pelik.
Apa yang peliknya adalah kerana kita tidak pernah melakukan perkara tersebut tidak semestinya ia salah.
Belajar daripada Naruto
Dalam manga Naruto ada satu watak bernama Shikamaru yang mampu membuat perancangan dengan menggunakan segala apa yang dia ada.
Dalam setiap operasi yang diketuainya, sekalipun ada orang daripada kumpulan lain dimasukkan dalam kumpulannya, dia akan menggunakan kepakaran orang tersebut dalam perancangannya.
Pernah dalam satu saat genting, tiba-tiba Naruto datang mahu membantu.
Walaupun pada ketika itu Shikamaru tidaklah menyukai Naruto, tetapi dia tetap tidak mensiakan kepakaran Naruto dan merancang sesuatu yang baru.
Inilah yang saya cuba buat, saya perhatikan setiap calon-calon yang boleh saya lantik sebagai Ketua Biro dari segi kepakarannya dan komitmennya.
Ada orang komitmennya tinggi tetapi kepakarannya perlu dilihat dalam bidang yang sesuai.
Ada orang pakar dalam banyak bidang tapi komitmennya rendah.
Tetapi hal yang ini saya tolak tepi sebab dari sudut komitmen itu saya selaku Program Manager ada cara tersendiri untuk mengatasi perkara tersebut.
Jangan taksub dengan kumpulan (jemaah) sendiri
"Seseorang yang berperang untuk mendapatkan harta rampasan, seseorang yang berperang agar dipuji dan seseorang yang berperang untuk memperlihatkan kehebatannya, siapakah di antara mereka yang berada di jalan Allah?"
Rasulullah s.a.w menjawab, "Sesiapa yang berperang untuk meninggikan kalimah Allah (tertegak), maka dia berada di jalan Allah." - Riwayat al-Bukhari dan Muslim
Tidak kiralah mereka itu siapa atau bukan daripada jemaah kita, kalau objektif dan misinya sama apa salahnya kita turut menyokong usaha mereka.
Mungkin kerana tidak mahu menerima cara orang lain menjadikan kita begitu taksub dengan jemaah sendiri.
Sampai ada beberapa ketika berlaku kutuk-mengutuk, fitnah memfitnah. Yang si dia dalam jemaah B mengatakan jemaah A ini salah.
Dan si B pula mengatakan cara jemaah A salah.
Kutuk-mengutuk berlaku dan hasilnya tiada.
Orang luar yang memandangnya berasa 'Inikah Islam yang ingin dibawa?'.
Dan saya sekadar memandangnya dari luar dan menulisnya supaya perkara ini dapat difikirkan bersama.
Tiada sesiapa yang untung jika mahu meninggi-ninggikan pihak sendiri sahaja.
Kepakaran perlu dimanfaatkan bukan dimandulkan dan Alhamdulillah program yang saya buat itu berjalan dengan lancar.
Mulakan niat dengan baik dan belajar daripada Nabi Muhammad.
sumber: iluvislam.com
